Wednesday, January 13, 2016

SIAPA YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT?

8 Golongan Asnaf yang Layak Menerima Wang Zakat

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma “ ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)

Huraian Hadith: 

1. Golongan Fakir miskin adalah orang-orang yang hidupnya susah yang terdesak sehingga terdorong meminta sedekah ke sana ke mari.

2. Terdapat segelintir fakir miskin yang hidupnya sentiasa lapar dan menderita, dan mereka pula tidak rela mengadukan hal kepada orang lain. Keadaan mereka yang menyedihkan itu tidak diketahui umum. Golongan inilah sebenar-benarnya yang miskin, dan merekalah yang lebih layak menerima zakat.

3. Golongan yang berhak menerima zakat terbahagi kepada lapan asnaf, mereka ialah: orang fakir, orang miskin, amil, golongan muallaf, hamba abdi, orang yang menanggung hutang untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir.

4. Mereka yang layak menerima zakat pula disyaratkan antaranya;beragama Islam, bukan orang yang ditanggung nafkahnya dan bukan dari keturunan Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah swt dalam surah at Taubah ayat 60 bermaksud:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”.
  1. Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuknya dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10 sehari tetapi hanya mampu RM3 sahaja.
  2. Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.
  3. Amil – orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.
  4. Muallaf – seseorang yang baru memeluk agama Islam.
  5. Riqab – seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.
  6. Gharimin – penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.
  7. Fisabilillah – orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.
  8. Ibnus Sabil – musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan

Salah guna wang zakat

Ulama terkenal dan Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya menegaskan bahawa adalah menjadi dosa dan kesalahan besar bagi mereka yang menyalahgunakan wang zakat. Penyelewengan wang zakat yang diberikan kepada selain golongan tersebut merupakan satu pengkhianatan besar kepada umat Islam dan perlu diambil tindakan.
Dalam Al Quran, wang zakat perlu diagih kepada asnaf yang sepatutnya dibelanjakan. Ia tak boleh dibelanja sesuka hati, tidak boleh diambil oleh penguasa dan pihak bertanggungjawab menguruskannya. Selain asnaf yang lapan, ia adalah satu penyelewengan sekiranya wang zakat diberikan kepada mereka yang tidak sepatutnya. Ia merupakan satu kesalahan dan dosa yang cukup besar.

No comments:

Post a Comment